Friday, September 25, 2009

Ekspedisi jelajah dunia

Bakal merentas dua negara




SEBAGAI Ketua Ekspedisi, Israq Adventure Sdn. Bhd. mengelilingi dunia dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi memberi kepuasan maksimum bagi saya.

Ini adalah aktiviti lain daripada yang lain. Saya membawa peserta merentas daerah, negeri dan negara dengan menunggang motosikal kuasa tinggi. Ia bukan sahaja memberi kepuasan, malah penunggangnya juga nampak bergaya di atas jalan raya dan sering mendapat perhatian penduduk setempat.

Saya rakan-rakan pernah menunggang motosikal dari Istanbul, Turki ke Putrajaya sejauh 21,000 kilometer (km) lapan tahun lalu.

Kanchanaburi Ride

Ekspedisi pertama yang dianjurkan oleh Israq Adventure ialah BMW Motorrad Kanchanaburi Ride pada Disember 2008. Mendapat penyertaan lebih 20 orang peserta yang juga pemilik Motosikal BMW, perjalanan kami bermula dari Kuala Lumpur itu merentasi Hatyai, Hua Hin dan berakhir di Kanchanaburi Thailand sejauh lebih kurang 1,600 kilometer.

Sepanjang pengembaraan itu, kami menginap selama dua malam di Kanchanaburi dan sempat melawat ke Tree Pagoda Pass (Tiga Pagoda). Terletak di sempadan di antara Thailand dan Myanmar, monumen itu begitu mengagumkan.

Kami difahamkan sempadan itu telah ditutup beberapa tahun dahulu dan kurang pasti pula tentang punca penutupannya. Tindakan menutup sempadan tersebut membuatkan pelancong kurang berminat untuk ke sana lagi.

Biarpun begitu, masih terdapat segelintir peniaga menjalankan aktiviti perniagaan di situ. Antara produk yang dijual di sana termasuklah batu-batu hiasan, barangan perak dan antik. Apa yang pasti, semua barang yang dijual itu cukup unik dan sukar diperoleh di tempat-tempat lain.


LASAK dan bergaya dengan motosikal masing-masing.


Perjalanan diteruskan lagi. Kami kemudiannya menuju ke Hua Hin. Perjalanan dari Hatyai ke Hua Hin sejauh 800 kilometer merupakan perjalanan yang jauh dan amat meletihkan.

Memandangkan perjalanan itu melibatkan laluan yang lurus, peserta merasa agak bosan. Bagi penunggang motosikal berkuasa tinggi, jalan yang lurus itu langsung tidak mencabar.

Tiba di Hua Hin, hari sudah semakin gelap. Namun, bandar pantai yang dipenuhi cahaya dan sibuk pada waktu malam itu seakan-akan mengalukan-alukan kedatangan kami.

Teruja

Kesibukan bandar diraja Thailand itu membuatkan peserta tidak terasa hari sudah lewat dan masa untuk tidur pun terlepas. Para peserta yang teruja seperti sudah melupakan perjalanan jauh yang ditempuh tadi.

Kami juga sempat menikmati makanan laut di tepi pantai yang sebenarnya menjadi salah satu aktiviti wajib buat pengunjung yang datang ke Hua Hin.

Program ekspedisi BMW Motorrad Borneo Ride pada Mei 2009 pula telah disertai oleh 30 pemilik motosikal BMW berbagai model. Ekspedisi itu menjelajah dari Kuching, Sarawak menuju ke Seri Begawan, Brunei. Para peserta turut melalui Kudat, seterusnya ke Sandakan, Tawau dan Keningau, Sabah sebelum tiba di Kota Kinabalu.

Perjalanan itu adalah yang paling mencabar buat ahli ekspedisi. Konvoi terpaksa mengharungi laluan sejauh 3,100 kilometer dan menempuh berbagai dugaan.

Dugaan paling hebat ialah kondisi jalan yang berlubang dan belum diturap. Keadaan jalan yang penuh batu dan berhabuk membuatkan motosikal kadangkala sukar untuk dikawal dengan baik.

Tidak cukup dengan itu, perjalanan kami diuji dengan cuaca buruk yang sememangnya boleh mengundang bahaya. Selama dua hari berturut-turut, peserta konvoi terpaksa menunggang motosikal dalam keadaan hujan lebat.

Kehidupan

Walaupun begitu, peserta masih berpeluang untuk meninjau kehidupan seharian masyarakat setempat di sana yang pastinya jauh berbeza dengan kehidupan kita di sini.


PESERTA konvoi meninjau stesen minyak yang berikutnya ketika ekspedisi di Sarawak.


Ada yang simpati. Tidak kurang juga yang kagum dengan kecekalan mereka untuk menempuh hidup yang sangat mencabar. Jika majoriti suri rumah di Malaysia menggunakan mesin basuh untuk membasuh pakaian, mereka di sana masih menggunakan tangan.

Ketika merentasi Sarawak, mata kami disajikan dengan pemandangan rumah-rumah panjang di sepanjang jalan.

Apabila masuk ke Brunei Darussalam pula segalanya mulai berubah. Sama ada dari segi reka bentuk bangunan, pakaian atau pun tutur kata. Kami dijemput oleh para sahabat Brunei untuk terus berkunjung ke Masjid Sultan Salahudin atau dikenali sebagai masjid terapung. Sebaik sahaja sampai, ada peserta yang mengambil kesempatan untuk bersolat di sana.

Tiba di Sabah, para peserta terpesona dengan keindahan Tip Of Borneo atau Penghujung Borneo di Kudat. Apatah lagi apabila menikmati pemandangan arah laut yang cantik.

Gunung Kinabalu

Selepas Kudat, perjalanan diteruskan ke Sandakan dengan terlebih dahulu melalui Ranau. Konvoi melalui kawasan pedalaman yang dilatari dengan kawasan sawah padi dan berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu yang tersergam indah.

Kami berhenti makan di pertengahan jalan dan mengambil gambar kumpulan dengan berlatar Gunung Kinabalu.

Perjalanan dari Tawau ke Keningau melalui jalan tanah merah sejauh 130 kilometer menjadi salah satu perjalanan yang dinantikan oleh pemilik motosikal BMW model GS. Ini kerana model GS memang terkenal dengan kemampuannya mengharung laluan normal di jalan raya dan tanah merah.

Pada Ogos lalu, BMW Motorrad Mekong Ride 2009 telah disertai oleh seramai 15 orang peserta. Motosikal-motosikal BMW itu diuji untuk merentas hingga ke Luang Prabang, Laos.

Laluan yang mencabar dari Vientiane ke Luang Prabang sejauh 300 kilometer dengan jalan penuh berliku mencabar ketabahan konvoi. Laluan naik dan menuruni gunung itu menyebabkan dua penunggang motosikal kami muntah.

Apabila sampai Luang Prabang, semuanya tenang. Bandar lama itu diklasifikasikan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Tapak Warisan Dunia semememangnya nyaman dan mendamaikan. Kami akhirnya pulang ke Kuala Lumpur setelah mengembara sejauh 4,500 kilometer.

Dalam pada itu, Israq Adventure telah mengenal pasti dua ekspedisi sebelum menutup tirai 2009. Dua ekspedisi tersebut ialah BMW Motorrad Yunnan Ride 2009 dan BMW Motorrad Cambodia Ride 2009.


MERAKAMKAN kenangan selepas tamat perjalanan sejauh 3,004 kilometer di Sabah.


Ekspedisi ke China

BMW Motorrad Yunnan Ride 2009 yang dijangka berlangsung pada November ini bakal membawa para peserta dari Kuala Lumpur hingga ke Kunming, China.

Para peserta akan menikmati keindahan wilayah Yunnan dan melalui jalan gunung yang berliku. Jalan yang mencabar itu pasti memberi kenangan yang tidak akan dilupakan.

Ekspedisi yang mengambil masa kira-kira dua minggu itu dijangka bermula pada 13 November hingga 26 November 2009.

Sementara ekspedisi BMW Motorrad Cambodia Ride pada Disember 2009 pula akan meneroka keindahan Angkor Watt, Siem Reap dan Phom Penh, Kemboja.

Melawat Angkor Watt yang merupakan salah satu daripada keajaiban dunia dengan motosikal menjadi impian para peserta. Dari Siem Reap kami akan ke Phom Penh, seterusnya melawat Killing Fields.

Israq Adventure Sdn. Bhd. ditubuhkan pada tahun 1999. Saya memulakan karier berkaitan kembara daratan dengan pasukan Petronas Adventure Team sehingga tahun 2008.

Dalam tempoh sedekad, saya telah mengembara menaiki kenderaan pacuan empat roda ke tiga buah benua iaitu Asia, Afrika dan Eropah yang meliputi lebih 40 buah negara.

Maklumat lanjut mengenai Israq Adventure, sila layari: www.israqadventure.com atau e-melkan kepada israqadventure@gmail.com.

Rencana Utama!»

No comments:

Post a Comment